[Malay/Bahasa Melayu] Panduan menjimatkan tenaga dan air bagi penyewa

A renter's guide to saving energy and water
Publisher: 
Department of the Environment and Energy
Date: 
September 2018

Anda tidak perlu menjadi pemilik rumah untuk menikmati faedah daripada tindakan penjimatan tenaga dan air. Hampir sepertiga warga Australia adalah penyewa kediaman, dan meskipun perubahan yang anda boleh lakukan pada kediaman yang anda sewa terhad, terdapat cara untuk mengurangkan bil dan kesan alam sekitar, meskipun panel solar dan tangki air hujan bukan pilihan untuk anda. Malahan, sesetengah langkah yang paling berkesan yang anda boleh ambil untuk menjimatkan tenaga dan air, berkisar sekitar usaha membuat perubahan kecil dalam tabiat harian anda tanpa menanggung sebarang kos kewangan.

Tidak kira sama ada anda penyewa jangka pendek mahupun jangka panjang, terdapat pelbagai perkara yang mudah, lagi murah yang anda boleh lakukan untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan air dan menjimatkan ratusan dolar sepanjang tahun tanpa perlu mengorbankan keselesaan mahupun gaya hidup anda.

Idea penjimatan tenaga

Kecekapan tenaga (adakalanya dipanggil penggunaan tenaga efisien) berkisar sekitar usaha menggunakan tenaga yang berkurangan untuk memberi tahap prestasi, keselesaan dan kemudahan yang sama. Cuba langkah—langkah praktikal ini untuk mengurangkan penggunaan dan bil tenaga rumah anda.

  • Pilih peralatan yang cekap tenaga. Peralatan rumah mencakupi sehingga 30% penggunaan tenaga kediaman anda, oleh sebab itu, jenis peralatan yang anda pilih dan cara anda menggunakannya memberi perbezaan pada penggunaan tenaga dan bil anda. Jika anda membeli—belah peralatan baharu, pertimbangkan untuk membeli model yang menjimatkan tenaga. Cari Label Penarafan Tenaga untuk menentukan tahap kecekapan tenaganya—lebih banyak bintang, maka lebih banyak tenaga dan wang yang anda boleh jimatkan.
  • Mengawal iklim anda. Kira—kira 40% tenaga kediaman digunakan untuk memanas dan mendinginkan persekitaran. Pada musim sejuk, pertimbangkan untuk menetapkan termostat pemanasan anda kepada 18—20°C. Pada musim panas, cuba tetapkan termostat pendinginan anda kepada 25—27°C. Menetapkan termostat kepada satu darjah lebih tinggi (atau rendah) sekali pun boleh mengurangkan tenaga yang digunakan untuk memanaskan dan mendinginkan kediaman anda sebanyak 5 hingga 10%. Apabila anda menghidupkan penyaman udara atau pemanas, tutup bilik—bilik yang anda tidak guna dengan menutup pintu dalamannya.
  • Kedapkan ruang kosong dan retakan. Dengan memastikan kediaman anda kalis angin dan menyekat kebocoran pemanasan dan pendinginan daripada keluar menerusi ruang dan retakan, anda boleh mengurangkan bil tenaga anda sehingga 25%. Cuba gunakan penyekat angin fabrik berisi pasir (seperti ‘ular’ panjang) untuk mencegah udara mengalir daripada ruang yang terdapat di bawah pintu dan guna pengedap cuaca bagi tingkap, papan lantai, papan kambi, jendela langit dan birai hias. Dapatkan maklumat daripada tuan rumah sebelum anda memasang sebarang kedapan cuaca.
  • Pertingkatkan kecekapan tingkap. Cegah kehilangan haba dengan memasang langsir dan bidai yang sesuai untuk memerangkap selapisan udara pegun bersebelahan tingkap. Anda juga boleh membuka tingkap pada musim sejuk supaya cahaya matahari dapat masuk dan menutupnya sebelum hari menjadi gelap. Sehubungan dengan itu, anda dinasihatkan supaya menutup langsir pada waktu paling panas dalam sehari pada musim panas.
  • Memilih kipas dan sebaliknya bukan penyaman udara. Kos operasi bagi kipas siling dan berdiri adalah kira—kira satu sen sejam dan menghasilkan kurang gas rumah hijau berbanding penyaman udara. Kipas membantu mengitarkan udara dan boleh digunakan untuk meningkatkan keberkesanan sistem pendinginan udara serta untuk mengitar udara panas dan meningkatkan kecekapan pemanasan pada musim sejuk.
  • Beralih kepada pencahayaan cekap tenaga. Kira—kira 12% tenaga kediaman digunakan untuk pencahayaan. Dengan beralih kepada pencahayaan yang cekap tenaga dan menggunakan lampu secara cekap anda boleh mengurangkan kos pencahayaan sehingga separuh. Menggantikan glob lampu pijar dengan lampu pendarfluor kompak (CFL) atau diod pemancar cahaya (LED) adalah kaedah yang berkesan untuk menjimatkan kos tenaga. CFL menggunakan sekitar 20% tenaga glob lampu pijar dan boleh tahan antara 4 hingga 10 kali lebih lama.
  • Kuasa Siap Sedia. Kebanyakan peralatan dan perkakas, seperti pengecas telefon, konsol permainan, ketuhar gelombang mikro dan stereo terus menggunakan kuasa walaupun ia tidak digunakan. Kuasa siap sedia ini boleh mencakupi kira—kira 10% penggunaan elektrik isi rumah. Dengan mematikan peralatan dan perkakas pada dinding apabila anda selesai menggunakannya akan menjimatkan penggunaan tenaga dan juga bil anda. Jika terdapat lampu siap sedia atau jam pada sesuatu peralatan, ia masih menggunakan kuasa.
  • Peti sejuk dan penyejuk beku. Suhu optimum bagi peti sejuk ialah antara 3 hingga 5 darjah Celsius; atau antara negatif 15 hingga negatif 18°C Celsius bagi penyejuk beku. Setiap pengurangan satu darjah memerlukan 5% tenaga tambahan. Pertingkatkan kecekapan peti sejuk dan penyejuk beku anda dengan mengeluarkan sebarang tokokan fros dalam penyejuk beku dan meninggalkan ruang 5—8 sentimeter di sekelilingnya untuk pengalihan udara. Jika anda ada peti sejuk kedua yang digunakan pada majlis tertentu, hanya hidupkan apabila anda memerlukannya sahaja.
  • Membasuh dan mengeringkan pakaian. Apabila membasuh pakaian dengan mesin, jimatkan tenaga dan air dengan menggunakan air sejuk, dan kitaran yang sesingkat mungkin, melaraskan paras air anda untuk disesuaikan dengan saiz muatan dan menunggu hingga anda ada pakaian yang secukupnya untuk memastikan muatan penuh. Jemur pakaian dan sebaliknya jangan gunakan pengering pakaian elektrik—ia tidak menanggung sebarang kos.

Petua menjimatkan air

Memastikan anda cekap air membantu memastikan kita mengambil kira setiap titis dan setiap dolar. Terdapat pelbagai tindakan yang perlu diambil untuk menggunakan air dengan bijak di rumah dan di taman dalam usaha memelihara air demi masa depan kita.

  • Pertimbangkan untuk mendapatkan peralatan dan lekapan yang cekap air. Apabila membeli peralatan atau lekapan baharu, pertimbangkan model yang cekap air. Cari penarafan Label dan Standard Kecekapan Air (WELS).
  • Menggunakan pili secara cekap. Pili yang bocor pada kadar satu titis sesaat membazirkan lebih 12,000 liter air setahun. Jimatkan air dengan membaiki sebarang pili yang bocor secepat mungkin. Anda boleh mengurangkan penggunaan air anda dengan memasang alat pengudara. Alat pengudara mengehadkan aliran air dan boleh dipasang di bahagian luar atau dalam pili. Anda mungkin perlu mendapatkan keizinan tuan rumah anda sebelum meneruskan.
  • Memasang kepala pancur yang cekap air. Jika anda mempunyai kepala pancur lama yang tidak cekap, cuba minta tuan rumah anda menggantikannya dengan model yang cekap air kerana model ini menggunakan sekitar satu pertiga air berbanding pancur lama dan boleh menjimatkan lebih $160 setahun dalam bil tenaga dan air.
  • Menyimbah tandas. Apabila menggunakan tandas dwisimbah, pilih simbahan separa di mana sesuai. Jika tuan rumah anda mahu menggantikan tandas simbah tunggal, pertimbangkan untuk mencadangkan supaya dia menggantikannya dengan model dwisimbah yang cekap air kerana ia boleh menghasilkan penjimatan harian sebanyak 55 liter bagi setiap orang. Jika ini bukan satu pilihan, anda boleh membeli peranti sesaran air atau menggunakan botol plastik berisi air dalam tangki untuk mengurangkan kapasiti airnya.
  • Mengurangkan penggunaan air di taman. Padang rumput hijau tradisional boleh menggunakan sehingga 90% air yang anda gunakan untuk menyiram taman anda. Anda boleh mengurangkan jumlah ini dengan menetapkan supaya pemotong rumput anda memotong pada paras 4 sentimeter atau lebih panjang. Anda juga boleh mengurangkan penggunaan air taman anda dengan memperbaik amalan menyiram anda dan memilih produk yang cekap air.

Sumber penyewa

Berbincang dengan tuan rumah atau ejen hartanah anda

Sebarang pembaikan, servis atau penyelenggaraan, termasuk sebarang peningkatan lestari, biasanya memerlukan keizinan (dan kewangan) daripada tuan rumah anda. Setiap negeri dan wilayah ada undang—undang yang berlainan bagi penyewa, jadi, penting supaya anda menyelidik dan meminta izin sebelum anda membuat sebarang perubahan hartanah.

Beberapa perkara yang anda perlu ingati apabila mendekati tuan rumah atau ejen hartanah anda untuk meminta penambahbaikan yang lestari termasuk:

  • Rebat dan bantuan. Terdapat pelbagai rebat dan bantuan kerajaan yang disediakan kepada pemilik hartanah untuk membuat penambahbaikan yang lestari. Untuk membantu permintaan ini, anda boleh melakukan penyelidikan untuk tuan rumah anda dan menerokai seksyen rebat dan bantuan untuk mencari apa yang berkaitan dengan situasi anda.
  • Potongan cukai. Sebahagian besar penambahbaikan, serta pembaikan dan penyelenggaraan layak untuk mendapat potongan cukai. Anda mungkin berminat untuk melihat Panduan Pejabat Cukai Australia bagi pemilik hartanah sewa untuk melihat item mana yang berkaitan dengan isi rumah anda dan sampaikan berita baik ini kepada tuan rumah anda.
  • Manfaat pelaburan. Dengan melabur dalam penambahbaikan harta yang membawa kepada kecekapan air dan tenaga seisi rumah, tuan rumah anda boleh meningkatkan nilai hartanahnya dan menjadikannya lebih menarik bagi pembeli dan penyewa pada masa hadapan.

Pastikan anda menyampaikan sebarang permintaan kepada tuan rumah atau ejen hartanah anda secara bertulis. Menyimpan rekod semua permintaan anda dan sebarang persetujuan daripada tuan rumah atau ejen hartanah anda untuk membuat perubahan atau penambahbaikan, adalah idea yang baik.

Ingin tahu dan jimat lebih?

Pelbagai petua praktikal yang meluas berhubung kecekapan tenaga, sisa, air dan perjalanan serta maklumat berhubung bantuan kerajaan yang disediakan dalam Bahasa Melayu di laman web www.energy.gov.au.

Penafian

Commonwealth tidak menjamin ketulenan dokumen yang telah diterjemahkan dan tidak melahirkan sebarang pandangan mengenai ketepatan atau ketidaktepatan sebarang maklumat yang terkandung dalam dokumen asal atau yang diterjemahkan. Commonwealth tidak memberi sebarang jaminan berhubung terjemahan ini, termasuk ketepatan terjemahan yang berkenaan. Commonwealth dan para pegawai, kakitangan atau ejennya tidak bertanggungjawab bagi sebarang ganti rugi, kerugian yang ditanggung hasil kecederaan yang berpunca secara langsung atau tidak langsung daripada apa—apa penggunaan atau kebergantungan kepada terjemahan ini oleh mana—mana individu, sama ada penggunaan atau kebergantungan tersebut berdasarkan maklumat atau nasihat yang diberi oleh agensi berkenaan atau tidak.

This translation was funded as part of the Australian Government Multicultural Access and Equity policy.